Circumcision

Dr Amin Akram

Klinik Ajwa Seksyen 7

 

Secara asasnya, kita perlu memahami bahawa khatan adalah bertujuan untuk menjaga kebersihan dan kesihatan. Untuk ibu bapa yang sedang mencari kaedah khatan secara moden yang bersesuaian dengan anak, boleh teruskan pembacaan artikel ini. Khatan menggunakan teknologi laser dapat dikategorikan sebagai alternatif yang cekap dan selamat. Kaedah ini melibatkan satu alat yang dipanggil sebagai cautery. Alat ini khas menggantikan pisau atau gunting untuk memotong bahagian kulit yang diperlukan. 

Prosedur berkhatan bermula dengan :

  • Pemotongan kulit kulup dengan menggunakan cautery yang bersuhu tinggi. 
  • Hujung alat ini dipanaskan terlebih dahulu dengan menggunakan kuasa eletrik.
  • Potongan dibuat dengan cara membakar kulit sambil mematikan salur darah bagi mengelakkan pendarahan berlebihan. 
  • Selepas kulit itu dipotong, luka kemudiannya perlu dijahit dengan teliti agar tidak berdarah dan kemas. 
  • Bius setempat akan diberikan sebelum proses pemotongan bermula. 

Proses ini  hanya mengambil masa 20-30 minit untuk siap sepenuhnya tetapi bergantung pada situasi (jika tiada komplikasi semasa pembedahan e.g. pendarahan, pesakit tidak memberikan kerjasama dan sebagainya). 

Kelebihan kaedah laser ini ialah dapat menghasilkan potongan dengan lebih cepat dan mengurangkan risiko pendarahan sewaktu proses pemotongan. Khatan laser akan meninggalkan kesan parut dan mungkin akan terdapat kesan jahitan. Kekemasan atau kecantikan parut selepas proses khatan bergantung kepada teknik dan kemahiran doktor tersebut semasa mengendalikan prose  pemotongan kulit. 

Jika teknik freehand‘ digunakan, kemungkinan garis potongan kurang kemas dibandingkan dengan teknik ‘guilotine’ atau pancung dengan bahasa mudah. Teknik ini digunakan dengan bantuan alat ‘clamp’ atau penyepit bagi memudahkan proses pemotongan. Di Klinik Ajwa, kami menawarkan kaedah laser kerana mempunyai doktor yang berpengalaman melakukan prosedur ini dengan baik. Kaedah ini menjadi salah satu kaedah pilihan ibu bapa sekarang. Apapun pilihan anda, pastikan berjumpa dengan doktor terlebih dahulu untuk konsultasi. 

Dr Muhammad Farhan

Klinik Ajwa Seksyen 7

 

Khatan atau “bersunat” merupakan salah satu prosedur membersihkan alat kelamin dengan kaedah memotong lapisan kulit yang menutupi zakar lelaki yang dipanggil kulup atau ‘prepuce’. Prosedur ini diwajibkan kepada lelaki yang beragama Islam. Khatan anak lelaki ini boleh dilakukan bila-bila masa sahaja. Malah boleh dilakukan semasa bayi dan bius akan diberikan kerana prosedur ini sedikit menyakitkan.

Kini telah banyak kesedaran tentang khatan terutama mereka yang bukan beragama Islam kerana prosedur khatan ini memberi manfaat di samping mudah untuk dilakukan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (2007) menyatakan bahawa kajian saintifik telah membuktikan lelaki berkhatan mengurangkan kadar perpindahan kuman virus HIV kepada wanita.

Kebaikan dan kelebihan khatan terhadap alat kelamin :

  • Kebersihan
    • Berkhatan dapat memudahkan penjagaan kebersihan zakar dengan mengurangkan risiko terbentuknya smegma (kumpulan sel-sel kulit mati, minyak, dan kelembapan) di bawah kulup
  • Risiko jangkitan kuman yang lebih rendah
    • Berkhatan dapat mengurangkan risiko jangkitan kuman tertentu, seperti Urinary Tract infection (UTI) pada bayi dan kanak-kanak dan Sexual Transmitted Disease (STD) pada orang dewasa, termasuk HIV
  • Mengurangkan risiko masalah pada zakar
    • Selain daripada itu, berkhatan juga dapat mengurangkan risiko pada zakar itu sendiri seperti ‘balanitis’ (keradangan di kepala zakar) dan ‘phimosis’ (kulup terlalu ketat sehingga sukar ditarik ke belakang kepala zakar)
  • Pencegahan beberapa jenis barah (cancer)
    • Beberapa kajian menunjukkan bahawa berkhatan dapat mengurangkan risiko barah zakar (penile cancer) pada pasangan seksual lelaki dan barah serviks (cervical cancer) pada pasangan seksual perempuan
  • Alasan budaya atau agama
    • Budaya berkhatan merupakan praktik umum dalam beberapa komuniti agama dan budaya. Ia adalah sebahagian daripada undang-undang agama dalam agama Yahudi dan merupakan amalan yang telah ditetapkan dalam Islam, Kristian Koptik, dan Gereja Ortodoks Ethiopia

Namun demikian, penting untuk diingatkan bahawa berkhatan adalah keputusan peribadi dan budaya, serta prosedur ini juga memiliki risiko dan kemungkinan kerugian. Risiko masih ada seperti pendarahan, jangkitan kuman, dan komplikasi terhadap prosedur pembedahan itu sendiri.

Oleh hal yang demikian, penting untuk kita lihat secara pro dan kontra terhadap prosedur berkhatan ini sendiri dari sudut kesihatan dan mengelakkan daripada beberapa jenis penyakit.