Adakah bahaya kencing manis semasa hamil? Adakah kesan penyakit diabetes semasa hamil boleh menjejaskan kesihatan bayi dalam kandungan? Ini antara persoalan-persoalan yang sentiasa difikirkan ibu yang sedang hamil.
Apa itu Gestational Diabetes Mellitus (GDM)?
Gestational diabetes mellitus (GDM) adalah suatu keadaan di mana paras gula darah meningkat semasa mengandung dan kebiasaannya hilang selepas kelahiran. Keadaan ini boleh berlaku pada mana-mana peringkat kehamilan (trimester), namun ia lebih kerap berlaku semasa trimester kedua dan ketiga.
Bagaimana Gestational Diabetes Mellitus (GDM) boleh berlaku?
Pembesaran plasenta yang menghasilkan lebih banyak hormon penghalang seperti kortisol/ estrogen/human placental lactogen menyebabkan berlakunya rintangan dalam fungsi dan keberkesanan insulin.
Hal ini menyebabkan organ pankreas terpaksa menghasilkan lebih banyak insulin untuk mengatasi rintangan tersebut. Insulin yang dihasilkan oleh pankreas berperanan untuk mengawal kuantiti gula dalam darah dan membolehkan badan manusia menyimpan gula yang tidak diperlukan serta mendapatkan penghasilan tenaga. Sekiranya fungsi/peranan ini tidak mencukupi atau gagal, maka kadar gula di dalam badan akan naik dan menyebabkan berlakunya GDM.
Siapakah berisiko mendapat Gestational Diabetes Mellitus (GDM)?
- BMI > 27kg/m2.
- Sejarah GDM sewaktu kandungan sebelumnya.
- Sejarah keluarga menghidap penyakit diabetes (saudara darjah 1).
- Sejarah melahirkan bayi makrosomia (berat melebihi >4kg).
- Mempunyai sejarah bayi meninggal di dalam perut/melahirkan bayi cacat (anomali kongenital).
- Mempunyai penyakit darah tinggi/air ketuban berlebihan.
Adakah Simptom/ tanda Gestational Diabetes Mellitus (GDM)?
Kebiasaannya GDM adalah tidak bersimptom (asymptomatic). Kebanyakan kes dikesan sewaktu saringan yang dijalankan semasa kehamilan iaitu melalui ujian MGTT. Namun begitu, sesetengah wanita hamil berkemungkinan mengalami hiperglisemia sederhana seperti di bawah :
- Bertambah haus
- Kerap Kencing
- Mulut kering
- Keletihan
Gestational Diabetes Mellitus (GDM) boleh menjejaskan kehamilan ?
Ya, mengalami GDM adalah satu perkara yang perlu dipantau dengan rapi.
Ini kerana, diabetes semasa hamil yang tidak dipantau dengan baik boleh menyebabkan paras gula dalam darah meningkat yang mana, ia boleh menjejaskan kesihatan ibu yang sedang hamil. Bukan itu sahaja, ia juga boleh menjejaskan perkembangan bayi di dalam kandungan.
Bahaya Diabetes Melitus Gestational (GDM) Terhadap Bayi
- Berat Bayi Berlebihan
- Paras gula yang tinggi yang boleh menyebabkan bayi dalam kandungan membesar dengan saiz yang lebih besar. Bayi dengan berat 4 kilogram ke atas mungkin akan lebih sukar untuk dilahirkan melalui kelahiran normal dan berisiko mendapat komplikasi seperti bahu tersangkut (distosia bahu).
- Kelahiran bayi pramatang
- Paras gula yang tinggi sewaktu hamil juga boleh menyebabkan ibu berisiko untuk melahirkan bayinya lebih awal (<37 minggu kehamilan).
- Air ketuban berlebihan (Polyhydromnios).
- Bayi berisiko mendapat paras gula rendah (Hypoglycemia) selepas kelahiran, yang mungkin memerlukan rawatan lanjut di hospital.
- Bayi berisiko meninggal dalam kandungan (IUD)/sewaktu dilahirkan (Bersalin masih).
Bahaya Diabetes Melitus Gestational (GDM)Terhadap Ibu
- Tekanan darah tinggi (Preeclampsia)
- Keadaan dimana tekanan darah tinggi semasa hamil dan boleh menyebabkan komplikasi yang lebih serius jika tidak ditangani awal.
- Risiko kelahiran secara pembedahan (Caesarean section)
- Paras gula darah yang tinggi boleh menyebabkan kelahiran bayi yang lebih besar daripada biasa, dan ini meningkatkan kemungkinan untuk ibu hamil melahirkan bayi melalui kaedah pembedahan (pembedahan caesarean).
- Berisiko mendapat GDM dalam kehamilan yang seterusnya/diabetes pada masa akan datang.
Kesimpulannya
Bahaya GDM sewaktu kandungan bukan sahaja berlaku kepada ibu hamil malah ia juga boleh memberi bahaya kepada bayi di dalam kandungan.
Oleh itu, ibu hamil yang menghidap GDM dinasihatkan untuk menitikberatkan penjagaan paras gula dalam kadar paras normal justeru dapat mengelakkan komplikasi-komplikasi seperti di atas.

