Kenapa Scan Penting Semasa Awal Kehamilan?
Saya faham, bila dapat tahu diri hamil, rasa memang tidak boleh digambarkan. Perasaan bercampur bau dengan perasaan teruja, gementar, tidak percaya pun ada!
“Baru 6 minggu ni… Perlu ke saya buat scan sekarang?”
Jawapan saya, ya, scan awal sangat penting. Imbas semasa trimester pertama (minggu ke-6 hingga 12) bukan sekadar nak tengok ada baby atau tidak tetapi untuk memastikan semuanya berjalan dengan baik dari awal lagi. Baik untuk ibu dan si kecil dalam perut.
Apa Yang Kami Periksa Semasa Awal Kehamilan?
1. Kedudukan Bayi
Kami hendak memastikan bayi sedang membesar dalam rahim, bukan di luar (contohnya di tiub fallopio atau ovari. Ia dipanggil kehamilan luar rahim atau kehamilan ektopik). Kalau ini berlaku, memang kena ambil tindakan cepat sebab boleh bahayakan ibu.
2. Dengar Degupan Jantung Bayi
Kalau ibu dah masuk minggu ke-6 atau 7, biasanya kami boleh nampak dan dengar degupan jantung bayi. Inilah antara detik para-para ibu menanti.
3. Tahu Usia Sebenar Bayi
Imbasan dapat mengukur panjang baby (kami panggil panjang mahkota-botol) untuk tahu usia kandungan sebenar. Ia penting kerana dari sinilah kami dapat menetapkan tarikh jangkaan bersalin (EDD). Kadang-kadang ibu was-was dan lupa tarikh haid, maka scan dapat memberi jawapan yang lebih tepat.
4. Bilangan Bayi
Scan juga boleh menunjukkan sama ada ibu hamil seorang bayi, atau lebih. Jadi ibu boleh melakukan persiapan awal sepanjang dan selepas kehamilan.
5. Periksa Keadaan Rahim dan Ovari
Fibroid, cyst, atau sebarang ketumbuhan boleh dikesan melalui imbasan. Bukan untuk takutkan ibu, tapi pastikan kesihatan ibu dan bayi dalam keadaan selamat.
Bagaimana Imbasan Awal Kehamilan Dilakukan?
Doktor akan scan melalui perut dahulu, Transabdominal (TAS). Jika kandungan masih tidak nampak (bawah 6 minggu), imbasan akan dilakukan melalui laluan faraj (transvaginal) kerana imej lebih jelas. Jangan risau, alatnya halus dan tidak menyakitkan cuma mungkin rasa kurang selesa.
Jika kandungan memasuki minggu 7 dan ke atas, scan di atas perut sudah mencukupi. Tapi pastikan minum air lebih sikit supaya pundi kencing penuh. Ia dapat membantu hasil imbasan dengan lebih jelas.
Bila Waktu Terbaik Scan Awal Kehamilan
Jika haid ibu lewat 2 minggu atau lebih, atau jika ibu sudah melakukan UPT (positif), boleh semak usia kandungan menggunakan 'pregnancy wheel calculator' atau 'Pregnancy APPS'. Jika kandungan sudah berumur 6 minggu ke atas, perlu hadir ke klinik berdekatan untuk pengesahan kehamilan melalui imbasan. Lagi-lagi jika ibu ada simptom seperti sakit perut, keluar darah, atau tidak pasti bila tarikh haid terakhir.
Imbasan awal kehamilan bukanlah semata-mata untuk melihat kedudukan bayi, tetapi untuk menjamin kehamilan ibu selamat bermula dari trimester pertama. Kalau semuanya okay, Alhamdulillah. Kalau ada benda yang kita perlu awasi, kita boleh bertindak awal. Ibu-ibu semua, jagalah diri baik-baik 💕