Merancang Kehamilan Guna Susu Ibu. Boleh Ke?

Dr Aleya

Klinik Ajwa Seksyen 7

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca sekalian. Terima kasih kerana terus berminat untuk mengenali kaedah kehamilan bagi ibu yang sedang menyusukan anak. Pengisian ini khas untuk ibu-ibu yang baru sahaja melahirkan cahaya mata dan ada 'plan' nak merancang. Selain menggunakan kaedah suntikan atau suntikan untuk mencegah kehamilan, penyusuan badan juga adalah salah satu kaedah merancang.

Penyusuan secara berterusan dan kerap mengikut kaedah yang dipanggil Amenorea Laktasi (LAM). Ia berfungsi dengan cara melambatkan haid anda semula. Jika anda sedang menyusukan bayi bermakna anda telah melakukan perancangan kehamilan pada awal kelahiran bayi anda.

Keberkesanan kaedah LAM dikatakan sebanyak 98%. Namun, ia akan berkesan jika :

  • Ibu belum mendapat haid selepas bersalin
  • Bayi berumur kurang dari 6 bulan
  • Penyusuan susu ibu secara eksklusif —– hanya memberi susu ibu sahaja untuk setiap sesi penyusunan tanpa dicampur susu formula atau air

Sebaik sahaja bayi anda berhenti menyusu badan secara eksklusif, penyusuan akan menjadi kurang efektif untuk dijadikan sebagai pencegahan kehamilan. Anda boleh mula menggunakan kaedah-kaedah lain yang tidak menjejaskan susu ibu dan selepas melahirkan bayi. Antaranya :

  • Kondom
  • Diafragma
  • Spermisid
  • IUD ( Alat mencegah kehamilan dalam Rahim ) tanpa hormon
  • Vasektomi
  • Pengikatan tiub

Selain itu, anda juga boleh menggunakan kaedah-kaedah perancang yang mengandungi hormon progestin. Hormon progestin selalunya tidak menjejaskan pendapatan susu ibu tetapi untuk mencegah sebarang risiko, digalakkan guna selepas 6 minggu selepas bersalin.

  • Minipill (pil perancang yang mengandungi hormon progestin sahaja)
  • Suntikan depo
  • Implanon

Boleh juga cuba kaedah-kaedah lain (mengandungi hormon estrogen). Cuma kaedah ini dapat mengurangkan penghasilan susu ibu :

  • Kontraseptif oral gabungan iaitu pil perancang yang mengandungi kedua-dua progestin dan estrogen
  • Kaedah suntikan yang mengandungi kedua-dua hormon progestin dan estrogen

Untuk ibu yang sedang menyusukan bayi, digalakkan untuk menggunakan selepas 6 bulan selepas bersalin, jika ibu memilih cara ini sebelum 6 bulan selepas bersalin, ibu tetap digalakkan untuk terus menyusukan bayi memandangkan banyak khasiat terkandung dalam susu ibu.

Diharap pembacaan ini dapat memberi manfaat dan ilmu terutama kepada insan yang kali pertama bergelar ibu. Saya nasihatkan untuk berjumpa dengan doktor terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa keputusan berkaitan kaedah perancang bersesuaian dengan anda.

Terima kasih.

Topik Berkaitan

Terokai beberapa topik lain yang mungkin menarik minat anda.