“Kenapa Scan Penting Semasa Awal Kehamilan?

Aisyah Zainori

Sonografer Klinik Ajwa

Kenapa Scan Penting Semasa Awal Kehamilan?

Saya faham, bila dapat tahu diri hamil, rasa memang tidak boleh digambarkan. Perasaan bercampur baur dengan perasaan teruja, gementar, tidak percaya pun ada! 

“Baru 6 minggu ni… Perlu ke saya buat scan sekarang?”

Jawapan saya, ya, scan awal sangat penting. Scan semasa trimester pertama (minggu ke-6 hingga 12) bukan sekadar nak tengok ada baby atau tidak tapi untuk memastikan semuanya berjalan dengan baik dari awal lagi. Baik untuk ibu dan si kecil dalam perut.

Apa Yang Kami Periksa Semasa Awal Kehamilan? 

1. Kedudukan Bayi

Kami hendak memastikan bayi sedang membesar dalam rahim, bukan di luar (contohnya di tiub fallopio atau ovari. Ia dipanggil kehamilan luar rahim atau ectopic pregnancy). Kalau ini berlaku, memang kena ambil tindakan cepat sebab boleh bahayakan ibu.

2. Dengar Degupan Jantung Bayi

Kalau ibu dah masuk minggu ke-6 atau 7, biasanya kami boleh nampak dan dengar degupan jantung bayi. Inilah antara detik para-para ibu menanti.

3. Tahu Usia Sebenar Bayi

Scan dapat mengukur panjang baby (kami panggil crown-rump length) untuk tahu usia kandungan sebenar. Ia penting kerana dari sinilah kami dapat anggaran tarikh jangkaan bersalin (EDD). Kadang-kadang ibu was-was dan lupa tarikh haid, maka scan dapat memberi jawapan yang lebih tepat.

4. Bilangan Bayi

Scan juga boleh menunjukkan sama ada ibu hamil seorang bayi, atau lebih. Jadi ibu dapat melakukan persiapan awal sepanjang dan selepas kehamilan. 

5. Periksa Keadaan Rahim dan Ovari

Fibroid, cyst, atau sebarang ketumbuhan dapat dikesan melalui scan. Bukan untuk takutkan para ibu, tapi untuk pastikan kesihatan ibu dan bayi dalam keadaan selamat.

 

Bagaimana Scan Awal Kehamilan Dilakukan?

Doktor akan scan melalui perut dahulu, Transabdominal (TAS). Jika kandungan masih tidak nampak (bawah 6 minggu), scan akan dilakukan melalui laluan faraj (transvaginal) kerana imej lebih jelas. Jangan risau, alatnya halus dan tidak menyakitkan cuma mungkin rasa kurang selesa.

Jika kandungan memasuki minggu 7 dan ke atas, scan di atas perut sudah mencukupi. Tapi pastikan minum air lebih sikit supaya pundi kencing penuh. Ia dapat membantu hasil scan dengan lebih jelas.

 

Bila Waktu Terbaik Scan Awal Kehamilan

Jika haid ibu lewat 2 minggu atau lebih, atau jika ibu sudah melakukan UPT (positif), boleh check usia kandungan menggunakan ‘pregnancy wheel calculator’ atau ‘Pregnancy APPS’. Jika kandungan sudah berumur 6 minggu ke atas, perlu hadir ke klinik berdekatan untuk pengesahan kehamilan melalui scan. Lagi-lagi jika ibu ada simptom seperti sakit perut, keluar darah, atau tidak pasti bila tarikh haid terakhir.

Penutup mesra dari saya, scan awal kehamilan bukanlah semata-mata untuk melihat kedudukan bayi, tapi untuk menjamin kehamilan ibu selamat bermula dari trimester pertama. Kalau semuanya okay, Alhamdulillah. Kalau ada benda yang kita perlu awasi, kita boleh bertindak awal. Ibu-ibu semua, jagalah diri baik-baik  💕

 

Related Topics

Explore some other topics that might interest you.