Ali baru habis syif di bengkel. Seperti biasa, bunyi mesin sepanjang hari memang kuat, tapi dia dah lali. Cuma sejak kebelakangan ini, dia mula perasan telinganya berdengung bila balik rumah, dan pendengaran kurang jelas. “Biasalah kot,” fikirnya. Tapi betul ke normal?
Sebenarnya, keadaan yang dialami Ali mungkin berkaitan dengan apa yang dipanggil sebagai noise hazard atau bahaya bunyi di tempat kerja. Ia berlaku apabila seseorang terdedah kepada bunyi yang kuat atau berpanjangan, terutamanya pada tahap melebihi 85 desibel. Lebih kurang bunyi hair dryer yang digunakan dekat dengan telinga, bunyi blender di dapur, atau bunyi trafik jalan raya yang sibuk. Walaupun kedengaran seperti bunyi biasa, pendedahan secara berterusan boleh memberi kesan kepada kesihatan.
Pendedahan kepada bunyi bising dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan pelbagai kesan kepada kesihatan, terutamanya pendengaran. Antara kesan utama ialah kehilangan pendengaran secara beransur-ansur (noise-induced hearing loss) dan tinnitus, iaitu keadaan telinga berdengung. Selain itu, bunyi bising juga boleh menyebabkan sakit kepala, keletihan, gangguan tidur, serta kesukaran untuk memberi tumpuan. Dalam jangka masa panjang, ia juga boleh menyumbang kepada tekanan emosi dan menjejaskan kualiti hidup.
Bagi mengurangkan risiko, langkah pencegahan amat penting. Penggunaan alat perlindungan telinga seperti earplug atau earmuff dapat membantu mengurangkan pendedahan kepada bunyi yang berlebihan. Pekerja juga digalakkan untuk menghadkan tempoh berada di kawasan bising dan mengambil rehat di tempat yang lebih senyap bagi memberi peluang kepada telinga untuk berehat. Selain itu, penyelenggaraan mesin secara berkala boleh membantu mengurangkan tahap bunyi di tempat kerja. Pemeriksaan pendengaran secara berkala juga penting bagi mengesan sebarang perubahan pada peringkat awal.
Dari segi rawatan, masalah pendengaran akibat bunyi bising bergantung kepada tahap keterukan. Pada peringkat awal, pemantauan serta langkah perlindungan yang konsisten mungkin mencukupi untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk. Namun, jika berlaku kehilangan pendengaran yang ketara, pesakit mungkin memerlukan penilaian lanjut dan penggunaan alat bantuan pendengaran.
Oleh itu, mendapatkan pemeriksaan awal di klinik adalah langkah yang bijak sekiranya terdapat gejala seperti telinga berdengung atau kesukaran mendengar.

