Sebelum kita bincangkan stigma ini, penting untuk kita fahami apa itu Penyakit Tidak Berjangkit (NCD).
NCD (Non-Communicable Disease) ialah penyakit kronik yang tidak berjangkit tetapi berkembang secara perlahan-lahan. Contohnya termasuk:
- Penyakit jantung
- Diabetes mellitus (kencing manis)
- Tekanan darah tinggi (hipertensi)
- Kanser
- Penyakit pernafasan kronik seperti asma dan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD)
- Gangguan kesihatan mental seperti kemurungan dan kebimbangan
Pada peringkat awal, penyakit-penyakit ini mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala (bergantung kepada individu). Namun, jika tidak dirawat atau dikawal dengan baik, ia boleh menjadi sangat serius dan membawa maut.
ADAKAH NCD HANYA BERLAKU DALAM KALANGAN T20?
Tidak semestinya. NCD boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang ekonomi. Untuk memahami perkara ini dengan lebih jelas, mari kita lihat contoh berikut.
Contoh Situasi :
✅ Individu T20 (pendapatan tinggi)
Encik Faiz, seorang pegawai atasan syarikat swasta, berumur 42 tahun. Walaupun beliau mampu mendapatkan rawatan di hospital swasta dan hidup selesa, beliau jarang bersenam kerana sibuk bekerja dan sering makan makanan segera atau tinggi lemak. Beliau juga merokok dan jarang buat pemeriksaan kesihatan.
Akibat gaya hidup tidak sihat ini, Encik Faiz akhirnya disahkan menghidap tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi, iaitu dua jenis NCD yang biasa.
✅ Individu B40 (pendapatan rendah):
Pak Ali, 55 tahun, seorang peniaga kecil di pasar malam. Beliau tidak merokok dan makan secara sederhana, tetapi kurang akses kepada pemeriksaan kesihatan. Disebabkan kekurangan maklumat kesihatan dan tiada pemeriksaan berkala, beliau tidak sedar bahawa beliau menghidap diabetes. Bila mula sakit kaki akibat luka yang tak sembuh, barulah beliau tahu penyakit tersebut sudah tahap serius.
Walaupun tidak dari golongan T20, beliau tetap terkena diabetes (salah satu penyakit NCD) disebabkan kurang kesedaran dan akses kepada penjagaan kesihatan.
Sudah jelas bahawa Penyakit NCD tidak mengira latarbelakang. Kita dapat simpulkan, jika gaya hidup tidak sihat dan langkah pencegahan diabaikan lebih berpotensi untuk menghidap penyakit-penyakit ini.
Faktor Risiko Boleh Ubah NCD:
- Merokok
- Pemakanan tidak seimbang
- Kurang aktiviti fizikal
- Pengambilan alkohol berlebihan
- Tekanan emosi yang berpanjangan
Langkah Pencegahan NCD:
- Amalkan pemakanan sihat
- Bersenam secara berkala
- Berhenti merokok
- Urus tekanan dengan baik
- Lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala
Usaha ini bukan sahaja dapat mencegah penyakit NCD, malah membantu meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan. Pengesanan awal melalui saringan kesihatan sangat penting, terutamanya bagi individu berumur 30 tahun ke atas atau yang mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit NCD. Kita perlu lebih peka terhadap simptom awal, faktor risiko dan cara pencegahan agar dapat mengurangkan risiko penyakit-penyakit ini. Kesedaran dan pemahaman tentang NCD amat penting untuk mengubah gaya hidup ke arah yang lebih sihat.
🤝 Sama-sama kita usaha kurangkan statistik NCD di negara kita.