DAGING MERAH PENYEBAB HIPERTENSI. ADAKAH BENAR ?
Seperti kebiasaan selepas sambutan Aidiladha, ramai pesakit mendapatkan rawatan di klinik kerana masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, ketidakselesaan perut, dan kolesterol. Jadi ini secara tak lansung boleh dikaitkan dengan pengambilan daging semasa Aidiladha. Jadi berbalik pada persoalan, adakah daging korban ini menyebabkan hipertensi ?
Jawapannya adalah daging korban bukanlah punca utama hipertensi, tetapi pengambilan daging merah secara berlebihan boleh menyumbang kepada risiko tekanan darah tinggi (hipertensi). Daging korban sama sahaja seperti daging merah lain, tetapi pengambilan perlu dalam jumlah yang sederhana dan berkesan.
Kenapa Daging Merah Boleh Menyebabkan Hipertensi :
-
Daging lembu dan kambing mengandungi lemak tepu yang boleh meningkatkan kolesterol dalam darah.
-
Pengambilan daging secara berlebihan tanpa disertai sayuran atau serat boleh menyebabkan badan sukar mengawal tekanan darah.
-
Kaedah masakan yang melibatkan garam berlebihan, santan pekat dan minyak banyak boleh menjadi 'bom jangka' untuk pesakit hipertensi.
Tips Pengambilan Daging Merah :
- Hadkan pengambilan daging kepada satu atau dua kali sehari.
- Pilih cara masakan sihat seperti bakar, panggang, atau rebus.
- Kurangkan penggunaan garam, santan dan minyak berlebihan.
- Seimbangkan hidangan dengan sayur-sayuran dan buah-buahan.
- Minum air kosong secukupnya dan elakkan minuman manis berlebihan.
Tidak salah untuk menikmati daging merah tetapi ikuti tips cara pengambilan seperti diatas. Ramai pesakit tidak tahu mereka menghidap hipertensi sehinggalah pemeriksaan kesihatan rutin dilakukan. Ini kerana hipertensi jarang menunjukkan gejala-gejala awal. Jika tiada rawatan permulaan, ia boleh menyebabkan komplikasi serius seperti serangan jantung, angin ahmar (strok) dan kerosakan buah pinggang. Daging korban bukanlah tidak boleh dimakan tetapi kuantiti dan cara kita menguruskan pemakanannya sangat penting. Dikesempatan ini juga saya ingin mengucapkan Selamat Hari Aidiladha kepada semua Umat Islam. Moga ibadah kita diterima dan kesihatan kita sentiasa terjaga.