Kurang Asid Folik, Tinggi Risiko Bayi Mengalami Kecacatan

Dr Faznita

Klinik Ajwa Seksyen 15

KURANG ASID FOLIK, TINGGI RISIKO BAYI MENGALAMI KECACATAN.

Asid folik, atau dikenali juga sebagai vitamin B9, memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan awal janin. Pengambilan asid folik yang mencukupi sebelum dan semasa awal kehamilan dapat mengurangkan risiko kecacatan kelahiran serius. Wanita yang merancang kehamilan disarankan mula mengambil suplemen asid folik sekurang-kurangnya sebulan sebelum merancang kehamilan dan meneruskannya sepanjang trimester pertama .Salah satu kecacatan boleh berlaku pada bayi iaitu kecacatan tiub saraf seperti spina bifida dan anencephaly.

 

Rajah 1: Kecacatan Tiub Neural atau Spina Bifida

Kecacatan tiub neural melibatkan struktur embrio yang berkembang menjadi otak bayi, saraf tunjang, dan tisu yang mengelilinginya. Pada bayi dengan spina bifida, sebahagian daripada tiub neural gagal terbentuk atau menutup dengan sempurna, menyebabkan kecacatan pada saraf tunjang dan tulang belakang. Tiub saraf terbentuk dalam tempoh 28 hari pertama kehamilan, biasanya sebelum seorang wanita sedar bahawa dirinya hamil. Jika tiub saraf gagal tertutup dengan sempurna, ia boleh menyebabkan kecacatan seumur hidup yang menjejaskan kualiti hidup bayi. Menurut World Health Organization (WHO), pengambilan asid folik sebanyak 400 mikrogram (mcg) setiap hari secara konsisten boleh mencegah sehingga 70% kes kecacatan tiub saraf.

Manfaat Asid Folik untuk Ibu dan Bayi

Asid folik membantu perkembangan bayi sejak awal dengan memastikan tiub saraf dan organ utama terbentuk dengan baik. Dengan pengambilan asid folik yang cukup, ibu dapat membantu:

• Menyokong pembentukan tulang belakang dan otak bayi dengan sempurna.
• Mengurangkan risiko bayi lahir dengan kecacatan serius seperti tiub saraf terbuka.
• Membantu pembentukan bibir dan mulut bayi supaya sempurna.
• Menyokong perkembangan anggota badan yang sihat.
• Memastikan jantung bayi berkembang dengan baik.
• Menyokong perkembangan otak dan sistem saraf bayi yang optimum.

Sumber asid folik boleh didapati di farmasi atau klinik berdekatan. Saya mengalakkan kepada semua wanita yang berada dalam usia yang subur, terutamanya yang merancang kehamilan, agar tidak memandang ringan pengambilan asid folik. Ia mungkin hanya sebutir pil kecil setiap hari, namun impaknya amat besar terhadap kesihatan anak yang bakal lahir.

Rujukan
1. World Health Organization (WHO). (2015). Folic Acid Supplementation in Pregnant Women. https://www.who.int/elena/titles/folic_acid_pregnancy/en/
2. Centers for Disease Control and Prevention (CDC). (2020). Recommendations for Folic Acid Intake to Prevent Neural Tube Defects. https://www.cdc.gov/ncbddd/folicacid/recommendations.html
3. National Institutes of Health (NIH). (2023). Folate: Fact Sheet for Health Professionals. https://ods.od.nih.gov/factsheets/Folate-HealthProfessional/
4. Malaysian Ministry of Health. (2021). Panduan Pengambilan Asid Folik untuk Wanita Hamil. http://www.moh.gov.my
5. Bailey, L. B. (2020). Folate in Pregnancy: Evidence, Mechanisms, and Recommendations. The Journal of Nutrition, 150(11), 2753-2757.

Related Topics

Explore some other topics that might interest you.

en_USEnglish