Ibu Rh Negatif. Adakah Kehamilan Anda Bahaya?

Dr Nurul Syazida

Klinik Ajwa Seksyen 15

Ibu Rh Negatif. Adakah Kehamilan Anda Bahaya?

Rh negatif adalah salah satu faktor penting yang perlu diketahui oleh setiap ibu hamil. Ia merujuk kepada jenis darah ibu yang tidak mempunyai protein Rh pada permukaan sel darah merahnya.

Apa Maksud Rh Negatif?

Rh (Rhesus) merujuk kepada satu jenis protein yang terdapat pada permukaan sel darah merah. Jika darah seseorang mengandungi protein ini, mereka dikategorikan sebagai Rh positif (Rh+). Sebaliknya, jika darah mereka tidak mengandungi protein ini, mereka dikategorikan sebagai Rh negatif (Rh–).

  • Rh positif (Rh+): Jika darah anda mengandungi protein Rh pada sel darah merah.
  • Rh negatif (Rh–): Jika darah anda tidak mengandungi protein Rh pada sel darah merah.

 

Secara ringkas:

  • Rh positif (Rh+): Tidak ada masalah besar dalam kehamilan. Kebanyakan orang ada jenis darah ini.
  • Rh negatif (Rh-): Boleh jadi masalah jika ibu Rh negatif dan bayi mewarisi Rh positif dari ayah. Ini boleh menyebabkan tubuh ibu menghasilkan antibodi yang boleh serang darah bayi.

 

Apa Risiko Jika Ibu (RH-), Bayi (RH+)

Jika ibu mempunyai darah Rh negatif (Rh-) dan bayi mewarisi darah Rh positif (Rh+), ini boleh menyebabkan keadaan yang dipanggil Rh incompatibility.

 

Apa yang berlaku?

Apabila darah ibu dan bayi bercampur — contohnya semasa ibu mengalami pendarahan, semasa prosedur perubatan tertentu, atau ketika proses kelahiran — sistem imun ibu boleh mula menghasilkan antibodi terhadap sel darah Rh+ bayi.

 

Kenapa bahaya?

Antibodi ini boleh menyerang sel darah merah bayi, menyebabkan:

  1. Anemia: Sel darah merah bayi boleh rosak akibat antibodi ibu, menyebabkan bayi kekurangan darah (anemia).
  2. Jaundis: Bayi mungkin mengalami masalah jaundis (kulit dan mata kuning) kerana peningkatan pecahan sel darah merah.
  3. Kerosakan Organ: Jika tidak dirawat, masalah ini boleh menyebabkan kerosakan organ dalam kes yang teruk.

 

Cara Rawatan Untuk Mengelakkan Risiko 

Walaupun nampak menakutkan, kehamilan Rh negatif boleh dikawal dengan suntikan Anti-D imunoglobulin. Suntikan ini berfungsi untuk mencegah badan ibu menghasilkan antibodi yang boleh membahayakan bayi.

  • Suntikan Anti-D biasanya diberikan pada minggu ke-28 kehamilan, dan selepas kelahiran bayi jika bayi Rh positif. Ia juga boleh diberi sekiranya ibu mengalami episod pendarahan semasa kehamilan.
  • Suntikan ini akan menghalang ibu daripada menghasilkan antibodi yang berbahaya.

 

Jika anda seorang ibu dengan Rh negatif, jangan panik. Rh negatif bukanlah masalah besar, tetapi perlu pemantauan dan rawatan (suntikan Anti-D) untuk pastikan kehamilan berjalan lancar, risiko kepada bayi dapat dikurangkan. Kebanyakan ibu Rh negatif dapat menjalani kehamilan yang selamat dan sihat tanpa masalah besar.

 

Sumber Rujukan:

  1. American Pregnancy Association. (n.d.). Rh Factor and Pregnancy. Retrieved from https://americanpregnancy.org
  2. Mayo Clinic. (2020). Rh Factor and Pregnancy: What You Need to Know. Retrieved from https://www.mayoclinic.org
  3. National Health Service (NHS). (2021). Rh Incompatibility in Pregnancy. Retrieved from https://www.nhs.uk

 

Related Topics

Explore some other topics that might interest you.