Sihat Tanpa Asap Rokok

Dr Fatin Ilyani

Klinik Ajwa Seksyen 7

Sihat Tanpa Asap Rokok

Saya masih ingat ketika saya bertemu dengan seorang pesakit wanita ini. Umurnya dalam lingkungan 60-an. Seorang guru pencen, bercermin mata.

Tujuannya datang ke klinik pada ketika itu adalah atas alasan yang biasa-biasa, iaitu batuk berkahak yang berpanjangan melebihi tempoh 2 minggu. Umumnya, gejala begini tidaklah aneh bagi masyarakat di sekitar Lembah Klang. Kebiasaannya berpunca daripada jangkitan yang sukar untuk sembuh, yang mana setelah dijalankan beberapa siasatan seperti X-ray dada dan pengambilan sampel kahak, dengan izin Allah, gejala akan pulih dengan ubat-ubat yang sesuai.

Namun untuk pesakit ini, saya merasakan ada sesuatu yang berbeza. Kerana apa? Kerana wanita ini turut mengalami gejala penurunan berat badan dan kehilangan selera makan yang ketara.

Selepas saya memeriksa pesakit ini, saya berkata di dalam hati… “Ya Allah, jauhkanlah dia daripada penyakit yang aku bimbangkan, Ya Allah…”

Namun, terkedu hati saya kerana setelah selesai imbasan X-ray dada bersama laporan daripada Pakar Radiologi, keputusannya menjurus kepada penyakit Kanser Paru-Paru. Apa yang saya takutkan benar-benar menjadi kenyataan. Saya cuba menahan emosi dan menjelaskan duduk perkara dengan tenang. Tidak akan saya lupa keluhan kecil pesakit menyebut…

“AllahuAkbar…” Meluncur laju dari bibirnya yang kecil sebaik sahaja diagnosis itu disampaikan.

Memori ini sudah 3 tahun berlalu. Pesakit sudah pun kembali ke Rahmatullah. Allah lebih sayangkan dia. Jika saya putarkan semula memori itu, ibarat saya mencari-cari di mana puncanya… Mengapa insan sepolos itu diuji dengan Kanser Paru-Paru yang agresif dan berbahaya? Sedangkan dia menjaga kesihatan diri, menjaga pemakanan dan sebagainya.

Walaupun kita semua tahu Allah mentakdirkan sesuatu itu mengikut apa yang telah tertulis di Luh Mahfuz, namun dengan ilmu yang Allah pinjamkan kepada saya, ada satu faktor besar yang mungkin memberi peluang kepada sel kanser bertapak di paru-paru pesakit itu.

Ya.

Suami dan anak lelakinya yang tinggal serumah adalah seorang perokok tegar. Ketika fakta itu diberitahukan kepada saya, saya terdiam. Kerana tanpa pesakit ini sedar, itulah asbab Allah mengujinya dengan penyakit yang membunuh itu.

Umumnya, rakyat Malaysia menyangkakan bahawa asap rokok tidaklah sebahaya yang disangka. Walaupun pelbagai kempen kesedaran sudah dilaung-laungkan oleh badan kerajaan dan NGO bertahun-tahun lamanya, namun acap kali fakta betapa bahayanya asap rokok terhadap perokok pasif (secondary smoker) sering kali diabaikan.

Ya…

Ini bukan kisah tentang bahaya penyakit kepada si perokok. Tetapi ini adalah kisah tentang bahaya penyakit kepada golongan yang tidak merokok, namun menghidu asap rokok dengan kerap.

Faktanya, hanya dengan menghidu asap rokok, kita boleh mati. Anda tidak silap baca. Boleh mati. Asap ini mengandungi ribuan bahan kimia, termasuk banyak bahan toksik dan karsinogen.

Apa kesannya kepada badan kita? Izinkan saya huraikan satu persatu mengikut sistem dalam badan manusia.

1- Kesan kepada sistem pernafasan

Bukan sahaja boleh menyebabkan iritasi kepada saluran hidung, tekak dan saluran pernafasan, malah ia boleh menyebabkan batuk kronik, kahak yang tidak sudah sudah, sesak nafas, memburukkan penyakit asma, meningkatkan risiko jangkitan paru-paru, mengurangkan fungsi paru-paru dari masa ke masa dan meningkatkan risiko penyakit COPD (Chronic Obstructive Pulmonary Disease). Banyak, bukan?

2- Kesan kepada jantung dan salur darah

Bukan sahaja ia boleh menyebabkan kenaikan tekanan darah sementara, malah ia boleh menyebabkan salur darah menjadi kurang elastik, menggalakkan pembentukan plak dalam arteri (atherosclerosis), meningkatkan risiko serangan jantung, meningkatkan risiko strok dan meningkatkan risiko penyakit jantung koronari. Menakutkan, bukan?

3- Risiko kanser

Sebenarnya, perokok pasif mempunyai risiko yang jauh lebih tinggi berbanding individu yang tidak terdedah kepada asap rokok untuk mendapat Kanser Paru-Paru, Kanser Rongga Hidung dan Sinus serta beberapa kanser lain yang dikaitkan dengan pendedahan asap tembakau jangka panjang. Masih belum menakutkan?

4- Kesan kepada otak

Otak juga tidak terkecuali untuk menanggung akibat. Bukan sahaja risiko strok meningkat, malah ia boleh menyebabkan sakit kepala lebih kerap, pening dan gangguan tumpuan bagi sesetengah individu yang sensitif kepada asap rokok. Ini memang mengecewakan.

Apa pula kesannya kepada bayi dan kanak-kanak?

Sedih untuk saya katakan bahawa merekalah antara kumpulan yang paling terjejas jika terdedah kepada asap rokok.

Kerana apa?

Kerana kanak-kanak mempunyai paru-paru yang masih berkembang. Mereka terdedah kepada penyakit asma yang lebih teruk dan lebih kerap. Mereka juga boleh mendapat jangkitan telinga berulang, Bronchitis, Pneumonia, batuk kronik dan fungsi paru-paru yang kurang optimum apabila dewasa. Malah, bayi kecil yang terdedah kepada asap rokok turut berisiko mengalami “Sudden Infant Death Syndrome”. Mengapagolongan yang lemah dan tidak berdosa ini dibebankan dengan risiko yang tidak layak untuk mereka terima?

Dan kepada wanita hamil, mereka berisiko mengalami keguguran, kelahiran pramatang, melahirkan bayi dengan berat badan lahir yang rendah, pertumbuhan janin yang terjejas dan peningkatan risiko komplikasi kehamilan yang lain.

Ramai dari kita yang alpa. Walaupun kita tidak pegang rokok, tidak menghisap rokok, atau duduk “jauh sikit” daripada perokok, namun kita masih boleh terdedah kepada asap rokok yang terapung di udara dan melekat pada pakaian, langsir, sofa, kusyen, karpet dan dalam kereta.

Malah, tiada tahap pendedahan asap rokok yang dianggap benar-benar selamat. Pendedahan yang sedikit tetapi berulang kali selama bertahun-tahun tetap boleh meningkatkan risiko-risiko yang saya sebutkan di atas.

Maka sampai bila kita mahu berpeluk tubuh, membutakan mata dan membiarkan golongan lemah yang tidak bersalah dibunuh secara senyap? Perokok memilih untuk merokok, namun perokok pasif yang menanggung risikonya tanpa pernah membuat pilihan itu.

Mari kita bersama-sama mengubah paradigma kita. Katakan tidak kepada rokok. Kita mesti berganding bahu membantu ahli keluarga, sahabat handai dan rakan sekerja menjauhi rokok.

Nak atau tidak, kita perlu hidup SIHAT TANPA ASAP ROKOK.

Related Topics

Explore some other topics that might interest you.