Peranan Plastik Surgery dalam Pengurusan Obesiti

Dr. Leny Marlina

Klinik Ajwa Seksyen 7

Body Makeover Selepas Penurunan Berat Badan dan Kehamilan

Selepas mengalami penurunan berat badan yang drastik, begitu juga dengan perubahan selepas kehamilan (Mommy Changes), badan wanita sering mengalami perubahan fizikal seperti kulit perut yang kendur dan rectus diastasis.

Rectus diastasis berlaku apabila otot abdomen menjadi renggang dan struktur tisu di antara otot tersebut melebar, menyebabkan perut kelihatan lebih buncit walaupun seseorang sudah tidak lagi mengandung.

Prosedur body makeover bertujuan membantu memperbaiki bentuk dan kontur badan selepas perubahan tersebut. Ia boleh melibatkan beberapa bahagian badan seperti perut, payudara, lengan dan punggung, bergantung kepada keadaan serta keperluan setiap pesakit.

Abdominoplasti (Tummy Tuck)

Prosedur ini dilakukan untuk membuang lebihan kulit dan membantu meratakan semula bahagian perut yang kendur. Dalam keadaan tertentu, ia juga boleh melibatkan pembaikan otot abdomen yang renggang.

Terdapat beberapa jenis teknik yang boleh digunakan, antaranya:

  • Mini abdominoplasty: Sesuai untuk keadaan yang melibatkan lebihan kulit yang lebih sedikit, terutamanya di bahagian bawah abdomen.
  • Fleur-de-lis: Melibatkan hirisan menegak di bahagian tengah abdomen selain hirisan mendatar untuk membuang lebihan kulit yang lebih banyak.
  • 360-degree lift: Prosedur yang melibatkan bahagian hadapan, sisi dan belakang badan untuk menangani lebihan kulit pada kawasan yang lebih luas.

Antara cabaran yang perlu diberi perhatian bagi sesetengah pesakit Asia ialah risiko parut (scarring) yang lebih ketara serta perubahan warna parut seperti hiperpigmentasi.

Pesakit juga dinasihatkan untuk menjaga pemakanan dan mengekalkan berat badan yang stabil selepas pembedahan bagi membantu mengekalkan hasil prosedur dalam jangka panjang.

Liposuction dan Pemindahan Lemak (Fat Transfer)

Satu fakta penting yang perlu difahami ialah liposuction bukan prosedur untuk menurunkan berat badan. Sebaliknya, ia merupakan prosedur untuk membentuk dan memperkemaskan kontur badan (body contouring).

Jumlah lemak yang boleh dikeluarkan melalui liposuction bergantung kepada keadaan pesakit, teknik yang digunakan serta faktor keselamatan. Dalam sesetengah keadaan, jumlah yang lebih besar boleh meningkatkan risiko komplikasi, termasuk berkaitan sistem kardiovaskular.

Lemak yang dikeluarkan juga boleh digunakan untuk prosedur fat transfer, iaitu memindahkan lemak ke bahagian badan tertentu seperti payudara atau punggung untuk membantu menambah isi padu dan membentuk kontur badan.

Prosedur Payudara (Breast Makeover)

Bagi wanita selepas bersalin, payudara boleh mengalami perubahan bentuk, termasuk menjadi lebih kendur atau kehilangan sebahagian daripada isi padu asal.

Rawatan boleh melibatkan prosedur untuk menaikkan semula kedudukan payudara (breast lift) atau menambah isi padu menggunakan lemak sendiri melalui fat transfer atau implan silikon, bergantung kepada keadaan dan pilihan pesakit.

Kriteria Kesesuaian dan Keselamatan

Doktor menekankan bahawa tidak semua pesakit sesuai untuk menjalani pembedahan plastik. Dalam amalan tertentu, sebahagian pesakit mungkin perlu menangguhkan atau tidak disarankan untuk menjalani prosedur atas faktor keselamatan dan kesesuaian.

Antara faktor yang perlu dipertimbangkan termasuk:

  • Indikasi yang salah: Contohnya, pesakit yang mempunyai obesiti dan BMI yang tinggi mungkin perlu mengurangkan berat badan terlebih dahulu melalui pengurusan perubatan atau prosedur bariatrik sebelum mempertimbangkan pembedahan kontur badan.
  • Kesihatan perubatan: Masalah kesihatan seperti diabetes dan tekanan darah tinggi perlu dinilai dan dikawal sebelum menjalani pembedahan.
  • Ekspektasi yang realistik: Pembedahan boleh membantu melakukan perubahan pada bentuk badan, tetapi tidak boleh “mengembara masa” untuk mengembalikan rupa fizikal seperti puluhan tahun dahulu.
  • Sokongan keluarga: Sokongan daripada pasangan dan keluarga amat penting sepanjang proses pemulihan, terutamanya selepas menjalani prosedur pembedahan yang memerlukan tempoh pemulihan.

Prosedur Lain

Arm Lift: Prosedur ini dilakukan untuk membuang lebihan kulit pada bahagian lengan yang boleh kelihatan seperti “chicken wing”, terutamanya selepas penurunan berat badan yang ketara.

Rawatan tambahan (Adjuvant): Sesetengah rawatan tambahan seperti suntikan biomodulator boleh dipertimbangkan untuk membantu memperbaiki penampilan kulit. Rawatan seperti suntikan botulinum toxin juga boleh dilakukan dalam keadaan tertentu, termasuk ketika pesakit sedang menjalani prosedur dengan bius, bergantung kepada kesesuaian dan penilaian doktor.

Kesimpulan

Prinsip utama dalam pembedahan plastik tetap berpegang kepada keseimbangan antara aspek estetik dan fungsi tanpa mengabaikan keselamatan pesakit.

Pesakit juga diingatkan supaya berhati-hati dengan prosedur haram atau bahan suntikan yang tidak berdaftar, seperti suntikan silikon, kerana ia boleh menyebabkan komplikasi serius dan kerosakan yang berpanjangan.

Sebelum menjalani sebarang prosedur, dapatkan penilaian daripada doktor pakar yang berkelayakan untuk memahami pilihan rawatan, risiko serta hasil yang realistik.

Sumber:
Dr. (Mr) Wan Syazli Rodzaian Bin Wan Ahmad
Consultant Plastic & Reconstructive Surgeon
Avisena Specialist Hospital

Related Topics

Explore some other topics that might interest you.